Menjelang tahun 2011, seluruh Tabika KEMAS akan dikendalikan oleh tenaga pengajar lulusan Diploma, bagi memastikan pelajar-pelajar pra-sekolah di Tabika KEMAS menerima pendidikan lebih berkualiti, mempunyai emosi daya saing lebih tinggi serta memiliki sahsiah diri seimbang dari segi agama dan cintakan negara.
Menjelang 2015, tenaga pendidik lulusan Diploma dijangka bertambah kepada 10,500 orang. Sebagai langkah ke arah usaha itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan KEMAS hari ini memeterai program dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, untuk melatih 476 guru KEMAS mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak pra sekolah berumur 4 hingga 6 tahun.
Program Diploma Pendidikan ini melibatkan program pengajian selama dua tahun. Pendaftaran masuk kumpulan pertama adalah seramai 110 orang mulai tahun 2008, disusuli purata 120 orang lagi pada setiap tahun sehingga tahun 2011, menjadikan jumlah keseluruhan 476 orang.
Mulai 2009, dalam usaha memperluaskan lagi pendidikan pra sekolah ini meliputi peringkat kanak-kanak seawal bayi (di bawah satu tahun hingga 4 tahun), kementerian dan KEMAS juga bercadang melatih pula guru-guru Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) KEMAS di bawah program PERMATA mengikuti pengajian Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, juga di UPSI.
Di bawah program pengajian ini, seramai 200 orang akan didaftarkan ke UPSI pada tahun 2009 dan seramai 455 orang lagi pada tahun 2011. Langkah ini akan menghasilkan jumlah tenaga pendidik Taska KEMAS berkelulusan diploma seramai 655 orang menjelang 2013.
Penambahbaikan tenaga pengajar KEMAS ke taraf Diploma juga dilaksanakan melalui Program Perguruan Pra-Sekolah iaitu kerjasama antara KEMAS dan Kementerian Pelajaran Malaysia, yang berjaya melahirkan 2,400 guru lulusan Diploma sejak 2006 hingga 2008 untuk mendidik kanak-kanak pra sekolah di tabika-tabika KEMAS.
Program Perguruan Pra-Sekolah ini bakal melahirkan 9,996 guru KEMAS berkelulusan Diploma menjelang tahun 2015 melalui program Diploma Perguruan di Institut Perguruan Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran.
Program ini meliputi pengajian sepenuh masa bagi meningkatkan profesionalisme seramai 5,032 orang guru Tabika KEMAS dan seramai 4,964 orang lagi secara mengikuti kursus dalam cuti. Guru-guru ini mendidik kanak-kanak pra-sekolah berumur antara 5 hingga 6 tahun.
Kementerian juga sedang menimbang kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain bagi menaiktaraf kelulusan guru-guru KEMAS ke tahap diploma atau kelulusan lebih tinggi menerusi program pengajian sepenuh masa atau kursus dalam cuti di bawah program penambahbaikan tenaga pendidik KEMAS.
Dalam tahun 2008 saja, seramai 2,480 guru KEMAS sudah dihantar menjalani kursus di bawah Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, KEMAS akan membelanjakan RM8 juta untuk melatih 9,880 guru Tadika dan Taska fasih bertutur, menulis dan mengajar dalam bahasa Inggeris menjelang 2011.
Bagi memastikan tabika dan taska KEMAS dilengkapi dengan peralatan pendidikan lebih baik, KEMAS juga akan membelanjakan sejumlah RM173.7 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk melengkapkan peralatan baru di 5,882 premis tadika dan taskanya di seluruh negara.
Sejumlah RM13.1 juta akan dibelanjakan bagi melengkapkan 4,509 premis tadika dan taska dengan komputer.
Jumlah ini tidak termasuk RM120.6 juta bagi membina 654 bangunan tabika baru dan RM138.2 juta bagi membaikpulih 4,000 premis tabika dan taska yang sedia ada.